POLITIK

Wednesday, October 21, 2009

"Saat kekalahan itu bermula bila kamu berasa lemah dalam perjuangan dan saat kemenangan itu bermula bila kamu melawan rasa lemah itu.” (As-Marhum Syed Qutb)



Pada pandangan peribadi saya, ada beberapa pandangan ‘hikmah’ dari keputusan kemenangan BN melalui Isa Samad di Bagan Pinang (BP) :

1. PAS memilih keputusan untuk masuk bertanding melawan Isa Samad, walaupun sememangnya PAS sudah pasti telah meramalkan kekalahan mereka di sana, bagaikan mahu merampas Permatang Pauh dari DSAI.

Memilih untuk masuk berbanding kalah sebelum bertempur (boikot) adalah satu pengajaran yang sangat berguna pada gerakan mahasiswa Islam di kampus yang masih teragak-agak untuk memasuki pilihanraya kampus kononnya musuh terlalu kuat dominasi dan pengaruhnya.

Sampai bila alasan seperti itu wajar dikokokkan ketika pengalaman berpilihanraya dan pengalaman “mencipta kekalahan” atau “sengaja mahu belajar dari kekalahan” adalah suatu mutiara pengalaman yang sangat berharga pada sesebuah gerakan yang mahu mula meletakkan pencaknya dalam pentas politik. Permulaan adalah fasa yang paling sukar dan permulaan adalah sebahagian dari kesempurnaan menurut pepatah klasik Rom.

PAS memerlukan skrip Uhud atau Hunain di Bagan Pinang untuk menseimbangkan skrip Badar mahupun Ahzab yang telah dirasai sepanjang rekod menang 7-0 pilihanraya kecil (4-0 di tangan PAS) di Semenanjung selepas PRU baru-baru ini.

Dokumen "post mortem" PAS wajar ditambah dan dipelbagaikan lagi kerana inilah pedoman terpenting mendepani PRU 13 nanti.

Analisis Anthony Loke Siew Fook, Ketua Dapsy bahawa PAS "hilang fokus" dalam PRK BP boleh diterima dengan positif sebagai khazanah berharga PAS. Katanya : "PRK Permatang Pauh jelas menyaksikan bagaimana Anwar Ibrahim dikembalikan ke Parlimen, PRK Penanti sebagai pemilihan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, PRK Bukit Selambau pula menjanjikan calon PKR-PR sebagai EXCO Kerajaan Kedah, dan PRK Bukit Gantang bertemakan krisis negeri Perak...PR tidak cukup sekadar mengkritik betapa buruknya BN, tetapi perlu menceritakan apa yang baik pada PR, untuk PRU ke-13."

Mujurlah YB Salahudin Ayub mencetuskan gagasan jiwa besar iaitu gelombang ketiga rakyat - selepas gelombang kedua (himpunan membantah ISA) dan pertama (himpunan mengertak SPR melalui Bersih - melalui eksperimen di Bagan Pinang dengan harapan akan dipugar gelombang itu bermula di situ.

Kekalahan di semua peti undi adalah satu 'catalyst' berharga untuk PAS mara ke hadapan memikirkan upayanya politik dan dakwahnya memenangi hati non-Muslim. Kenyataan terbaru Presiden PAS dan polemik sekitar mengenai sayap non-Muslim dalam PAS adalah juga 'hadiah' dari 'penangan' BP.

Apatah lagi menyaksikan ucapan jiwa besar "4 perubahan budaya kerja menuju kerajaan menanti" Presiden PAS TGAH baru-baru ini di Terengganu (related link : Harakah).

Hasrat Zaid Ibrahim bercuti - jika benar laporan ini - untuk mendaftarkan PR sebagai satu gabungan parti politik yang rasmi adalah 'respon strategik' kepada kekalahan PAS di BP. Mungkin idea ini akan terus berkubur tanpa 'penangan' dari BP.

2. Sudah pasti bukan sekadar asas syara’ dan prinsip perjuangan muwajahah silimiyyah PAS yang menjustifikasikannya memasuki PRK BP, bahkan asas strategik juga sudah pasti wujud. Tahniah pasukan strategist YB Salahudin Ayub dan Dr. Dzulkifli Ahmad kerana “gelombang ketiga” (strategi membina mind-set rakyat di peringkat nasional) telah berjaya merebak ke seluruh Malaysia walaupun ia seperti di “Taif” kan di Bagan Pinang.

Mencipta gelombang ketiga sememangnya tidak releven secara jangka pendeknya di BP, tetapi ia adalah satu senjata jangka panjang yang boleh mematikan Umno-BN dalam PRU 13 khususnya selepas signal ‘reformasi’ dan ‘rakyat’ yang diresolusikan AGM mereka di PWTC baru-baru ini.

Tanpa jiwa besar mencetuskan gelombang ketiga, PR mungkin berada dalam situasi berbahaya menjelang pembubaran DUN Perak (sekadar ramalan saya mengenai konspirasi BN selepas kejayaan di BP) mahupun PRU 13, khususnya selepas PM Najib membuat ucapan dasar jiwa besar dengan sepatahpun tidak menyerang pembangkang dan individu bahkan hanya menumpu kepada misi perubahan perlembagaan dan dalaman Umno-BN. (related link : MSO)

3. Kemenangan calon ‘rasuah’ Umno di BP juga penting untuk mematikan mood perubahan dalam BN. Selama ini sejak kekalahan 7-0 dalam PRK dan PRU, suara reformasi kian bergema dengan lantang dalam Umno-BN. Namun dengan BP dan kemenangan "perasuah", ia boleh mematikan usaha reformasi itu dalam Umno-BN. Hasrat untuk menajiskan rasuah mungkin tidak lagi kedengaran.

"Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau 'reengineering' Umno. Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang mantan MB yang mewah setelah 22 tahun 'mengemudi' negeri terbanyak itu.

Umno tidak bersedia bermain di pentas 'Politik Baru' politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka
." - Dr. Dzulkifli Ahmad

taken from:http://rijal82.blogspot.com

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin
 

blogger templates | Make Money Online